• 2025-06-24 05:07 PM
Sultan Brunei zahir penghargaan kepada pasukan perubatan Malaysia

KUALA LUMPUR: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, menzahirkan penghargaan tertinggi kepada pasukan perubatan Malaysia yang terlibat dalam penjagaan kesihatan Baginda.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu selepas menghubungi Sultan Brunei untuk bertanya khabar kesihatan Baginda.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan Baginda dilaporkan bertambah baik setakat ini dan terus dipantau rapi oleh pasukan perubatan, termasuk penglibatan petugas kesihatan dari Malaysia,“ kata Anwar dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dalam perbualan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Brunei yang kekal erat serta perkembangan semasa ASEAN.

Sultan Hassanal Bolkiah tiba di Malaysia pada 25 Mei untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan berehat di Institut Jantung Negara sebelum pulang ke Brunei pada 3 Jun.