KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan untuk berangkat mengadakan Lawatan Negara ke Rusia dari 5 hingga 10 Ogos ini atas jemputan Presiden Vladimir Putin.
Istana Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan Seri Paduka Baginda bakal melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia pertama mengadakan Lawatan Negara ke Rusia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada 1967.
“Lawatan ini turut melambangkan peranan penting Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara,“ menurut kenyataan itu.
Menurut Istana Negara, lawatan itu bukan sahaja akan memperkukuh hubungan dua hala sedia ada malah membuka ruang kerjasama baharu dalam pelbagal bidang, termasuk perdagangan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi serta hubungan sesama rakyat.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, kenyataan itu memaklumkan Malaysia turut memainkan peranan signifikan mengeratkan kerjasama strategik dalam konteks Rusia sebagai Rakan Dialog ASEAN sejak 1996.
Semasa berada di Moscow, Istana Negara memaklumkan Sultan Ibrahim akan diterima Presiden Putin dalam satu Istiadat Sambutan Negara di Kremlin, diikuti dengan satu pertemuan rasmi antara kedua-dua ketua negara.
“Seri Paduka Baginda turut berangkat menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Persekutuan Rusia itu,“ menurut Istana Negara.
Seri Paduka Baginda turut berkenan untuk mencemar duli melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) serta Hab Teknologi dan Inovasi Tochka Kipeniya.
Selesai lawatan ke Moscow, Seri Paduka Baginda turut berkenan untuk berangkat mengadakan lawatan ke Kazan di Republik Tatarstan pada 8 Ogos 2025.
Tatarstan merupakan satu daripada republik autonomi Rusia dengan majoriti penduduknya beragama Islam.
Di Kazan, Istana Negara memaklumkan Seri Paduka Baginda berkenan untuk menerima menghadap Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov dan berangkat mengadakan lawatan ke pusat pembuatan dan pemasangan helikopter. - Bernama