• 2025-09-05 08:51 AM

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah penyebaran fitnah dan kebencian yang semakin menular terutama menerusi media sosial mencetuskan perpecahan dalam kalangan ummah masa kini.

Baginda bertitah saban hari ummah disajikan dengan kata-kata menjelikkan, menghina, mempersenda dan membadutkan orang yang tidak bersefahaman dengan kumpulannya.

Tindakan tersebut menjelmakan budaya baharu yang sangat bercanggah dengan adab seorang Muslim dan adat Melayu.

Baginda menegaskan hati yang tidak dijaga dengan ketakwaan menjadikan anggota mulut yang berkata-kata dan tangan yang menyentuh papan kekunci gajet bebas melakukan apa sahaja.

Sultan Nazrin bertitah ummah masa kini juga menghadapi cabaran dalam mendepani penyatuan dengan semangat ukhuwah yang muhibah.

Titah baginda perbezaan dan perbalahan bagi memenangkan hujah masing-masing yang berlaku antara kabilah politik, mazhab dan bangsa telah mencetuskan polemik dalam kalangan ummah.

Ummah seolah-olah melupakan wasiat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam agar meninggalkan perbuatan yang tercela seperti mengejek, memberi gelaran jelik, bersangka buruk, mengumpat, memfitnah, dan menjatuhkan hukum tanpa diselidiki.

Titah Sultan Nazrin lagi tindak-tanduk yang melampaui batasan ini boleh membawa kepada perpecahan apabila golongan yang miskin adab dan kedana adat mengetepikan nas agama dan kehalusan budaya warisan bangsa.

Akibatnya berlakulah kerosakan, nilai-nilai murni agama diberikan tafsiran songsang, adat dipinggirkan, menyebabkan fahaman dan pegangan ummah, terutama dalam kalangan generasi muda terpesong dan songsang.

Sultan Nazrin bertitah generasi muda hari ini juga perlu diperingatkan tentang kisah pahit penjajahan dan jerih perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.

Jarak yang terpisah antara tarikh negara mencapai kemerdekaan dengan tarikh kelahiran generasi muda menjauhkan generasi muda daripada memahami perit dan penderitaan penjajahan.

Perjanjian yang pernah dipersetujui jangan dibiarkan dipersoalkan sewenang-wenangnya disebabkan semakin terhakis sikap saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain.

Baginda menegaskan api perselisihan yang semakin dinyalakan melalui retorik politik yang memilih untuk mengeksploitasi isu kaum dan agama perlu dielakkan.

Justeru, baginda bertitah usaha perlu dipergiatkan untuk mengembalikan manhaj pembinaan negara bangsa berpandukan kebijaksanaan dan semangat yang diasaskan oleh Baginda Rasulullah SAW.

Warga Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya, dan menguasai pelbagai bahasa.

Sikap bersederhana dan amalan bertoleransi dapat memberi peluang dan ruang kepada semua golongan untuk saling memahami dan saling menghormati.

Pendekatan ini juga membantu masyarakat mengenali batas sempadan dan tidak mengusik perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum. – Bernama