CAMERON HIGHLANDS: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya Kampung Desa Kayangan di Brinchang di sini dijadikan Kampung Melayu yang menjadi tarikan pelancong.
Al-Sultan Abdullah bertitah pihak kerajaan negeri akan mengkaji tarikan yang ada di kampung itu antaranya membabitkan pusat kebudayaan dan tempat makanan orang Melayu mahupun makanan Orang Asli.
“Kita (kerajaan negeri) kaji dulu ya, itu satu cadangan yang boleh kita tinjau dan realisasikan pada masa akan datang.
“Yang lebih penting kesejahteraan di sini dulu, nak tengok dari segi infrastrukturnya, jalan elok, api (elektrik), air semua ada keselesaan di sini, itu yang diutamakan dulu,“ titah Al-Sultan Abdullah kepada pemberita ketika ditanya berkenaan hasrat baginda yang mahu melihat kampung itu menjadi Kampung Melayu yang boleh dikunjungi pelancong luar.
Baginda bertitah sedemikian ketika berangkat melawat rumah penduduk pada Persembahan Taklimat Baik Pulih Rumah oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) serta Taklimat Pembangunan Infrastruktur Desa Kayangan di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Dr Ramli Mohd dan Pegawai Daerah Cameron Highlands Kamarul Iskandar Nordin.
Berkaitan pengamatan baginda di kampung itu setakat ini, Al-Sultan Abdullah bertitah baginda masih belum berpuas hati apabila banyak bangunan atau rumah belum siap dengan sempurna, selain jalan belum diturap sepenuhnya, namun memahami itu adalah satu proses yang masih berterusan dan mengambil masa.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah baginda dan Wan Rosdy akan meneliti cadangan pihak Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) bagi membahagikan lot tanah di Kampung Desa Kayangan kepada penghuni di situ.
“Kita nak ‘menghalalkan’ penduduk tinggal di atas tanah ini, namun seperti saya katakan tadi, saya harap mereka terus menjaga kawasan ini dengan sebaik mungkin, menjaga kebersihan dan menjaga kecantikan (kampung itu).
“Saya nak ini jadi satu taman yang boleh dicontohi, taman orang Melayu di sini dan Orang Asli,“ titah baginda.
Terdahulu, Kamarul Iskandar dalam taklimatnya memaklumkan penempatan seluas 7.74 hektar itu didaftarkan pada 13 Jan 2021 atas nama Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang (PSK) yang telah dipajak kepada PKCH.
Beliau berkata pihak PKCH kemudiannya akan memberi pajakan kecil kepada penduduk dan sehingga kini, jumlah penduduk di situ adalah sebanyak 320 orang.
Pada masa sama, katanya terdapat 100 bilangan lot di kampung itu dengan 72 daripadanya adalah tapak rumah bernombor, sembilan tapak dalam pembinaan, 18 tapak kosong yang belum didirikan sebarang binaan dan satu tapak surau.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah kajian juga akan dilakukan bagi mewujudkan bas ulang-alik dari kilang Bharat Tea hingga ke Kea Farm di sini.
“Supaya senang orang tak payah bawa kereta, boleh tinggal kereta di sana (hentian). Boleh naik bas sahaja kalau pelancong... kurangkan kesesakan,“ titah baginda.