SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) kepada Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz setelah diijabkabulkan dengan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah hari ini.
Kurniaan tersebut membawa gelaran Datin Paduka Seri.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan memaklumkan istiadat pernikahan diraja berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang dekat sini.
“Sehubungan itu, gelaran rasmi konsort kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor ialah Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz,” katanya.
Terdahulu, Tengku Amir Shah diarak menaiki kenderaan istana sejauh 650 meter bermula dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah sebagai sebahagian daripada istiadat pernikahan diraja dengan disaksikan ribuan masyarakat yang hadir bagi meraikan hari istimewa itu.
Istiadat pernikahan berlangsung secara tertutup.
Sebelum ini, Mohamad Munir dalam kenyataan memaklumkan Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan perkahwinan akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Okt - Bernama