SEREMBAN: Orang ramai meluahkan rasa lega apabila Surau MADANI di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan kini dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat, sekali gus mengurangkan keperluan tergesa-gesa ke masjid lain.
Pekerja restoran di R&R itu Muhammad Amri Anuar, 25, berkata beliau bersyukur dengan kelulusan tersebut memandangkan sebelum ini beliau dan rakan-rakan perlu menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Tekir Labu, yang terletak kira-kira 15 kilometer dari lokasi itu.
“Memang tergesa-gesa, kalau banyak kenderaan di lebuh raya, lebih lama masa perlu diambil. Kami amat bersyukur kerana ini menjimatkan masa dan memberi kemudahan kepada kami,” katanya yang telah tujuh tahun bekerja di R&R itu kepada pemberita hari ini.
Kira-kira 300 jemaah menunaikan solat Jumaat pertama di surau berkenaan yang diimamkan oleh Imam 1 Masjid Labu, Shafie Rajiman, dengan khutbah bertajuk “Titian Keinsafan dan Keampunan Ilahi Pada Hari Asyura”, susulan pengisytiharan kelulusan oleh Mufti Negeri Sembilan Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin pada Rabu lepas.
Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Sazali Harun dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Datuk Nik Airina Nik Jaffar.
Sementara itu, Pengerusi Surau MADANI Alias Jaafar, 53, berkata kebenaran menunaikan solat Jumaat sememangnya dinantikan ramai memandangkan kawasan R&R itu adalah tempat tumpuan.
Beliau yang juga pengusaha restoran terharu kerana usaha bersama rakan niaga dan PLUS untuk membolehkan surau itu mendapat kebenaran mengadakan solat Jumaat selama hampir setahun akhirnya membuahkan hasil.
“Surau ini memberi keselesaan kepada orang awam, terutamanya pekerja. Keadaannya juga selesa dengan kemudahan lengkap, malah jumlah pemastautin di sini mencukupi. Jadi apabila diberi kebenaran untuk solat Jumaat, kami amat bersyukur,” katanya.
Seorang pengguna lebuh raya, Mohd Salleh Ibrahim, 47, yang dalam perjalanan dari Selangor ke Segamat, Johor, berkata beliau singgah untuk makan tengah hari namun mengambil peluang menunaikan solat Jumaat selepas dimaklumkan surau itu telah diberikan kebenaran.
“Alhamdulillah, saya tidak perlu jamak solat. Memang sangat memudahkan,” katanya.
Sementara itu, Nik Airina berkata PLUS bersyukur kerana dapat merealisasikan permintaan dan keperluan pemastautin di kawasan itu untuk menunaikan solat Jumaat dengan lebih mudah dan selesa.
“Inisiatif ini sebahagian daripada usaha kami untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan dan menjadikan kawasan R&R sebagai ekosistem yang baik untuk beribadah dengan tenang,” katanya.
- Bernama