TANGKAK: Polis mengesahkan seorang suri rumah kerugian RM26,060 selepas terperdaya penipuan peraduan cabutan bertuah dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata mangsa berusia 55 tahun itu pada mulanya tertarik dengan iklan peraduan berkenaan, yang dilihat menerusi satu aplikasi di telefon pintarnya pada 8 Julai lepas.
“Mangsa kemudian berhubung dengan suspek dan telah dipengaruhi untuk membuat 12 transaksi secara berperingkat dari 8 hingga 15 Julai lepas ke enam akaun bank berbeza yang dipercayai akaun keldai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima pulangan ratusan ribu ringgit seperti dijanjikan, sebelum membuat laporan di Balai Polis Tangkak semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu - BERNAMA