ROME: Lebih setahun selepas satu kes pembunuhan di Itali, jenayah itu kini hampir diselesaikan berikutan penemuan video swafoto yang dirakam oleh suspek menggunakan telefon mangsa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Setelah beberapa percubaan gagal, bapa mangsa akhirnya berjaya mengakses telefon pintar anaknya, lapor beberapa media Itali pada Ahad.
Dalam telefon itu, beliau menemui satu video yang dirakam suspek sejurus selepas kejadian.
Kes ini menjadi tajuk utama pada akhir April tahun lalu, apabila seorang lelaki berusia 32 tahun ditemui mati ditikam di bandar Villafranca Padovana yang berpenduduk 10,000 orang, di utara Itali berhampiran Padua.
Suspek, yang juga kenalan mangsa dan dua tahun lebih tua daripadanya, telah ditahan. Namun, usaha polis untuk mengakses iPhone milik mangsa bagi mendapatkan petunjuk tidak berjaya.
Akhirnya, telefon itu diserahkan semula kepada bapa mangsa oleh pasukan Carabinieri. Beliau kemudian berjaya membuka peranti berkenaan menggunakan pin yang betul.
Menurut laporan akhbar tempatan Il Gazzettino, video itu - hanya beberapa saat panjang - dirakam di lokasi kejadian dan sekitar waktu pembunuhan.
Ia dikatakan menunjukkan suspek menyebut beberapa ayat yang tidak jelas sebelum menyisir rambutnya dengan tangan.
Perbicaraan terhadap lelaki berusia 34 tahun itu, yang kini dalam tahanan, dijadual bermula September ini.
Tertuduh akan didakwa atas kesalahan membunuh dan berdepan hukuman penjara yang lama.
Suspek yang mempunyai masalah penagihan dadah dilaporkan baru keluar dari klinik pemulihan tidak lama sebelum kejadian.
Difahamkan, suspek dan mangsa telah saling mengenali sejak kecil dan pernah beberapa kali berselisih faham sebelum ini.