SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki suspek kes jenayah samun bersenjata api di kedai emas dalam sebuah pasar raya di Kota Damansara, pada 10.15 malam tadi.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata penahanan lelaki itu yang dilakukan polis kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sekitar kawasan Bukit Beruntung, Hulu Selangor.
Beliau berkata hasil penahanan tersebut telah menemukan semula sejumlah barang kemas yang dilarikan.
“Tangkapan dan barang kes dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, kerana melakukan rompakan menggunakan senjata api,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Hussein berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Farokh Faisal Ahmad di talian 017-7762991.
Hussein berkata Pusat Kawalan Polis Daerah (DCC) IPD Petaling Jaya telah menerima satu maklumat daripada orang awam berhubung kejadian samun senjata api di premis kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Kota Damansara pada 4.56 petang semalam.
“Penjenayah dipercayai lelaki tempatan itu telah menggunakan senjata disyaki sepucuk pistol semasa melakukan samun.
“Sejumlah tujuh dulang barang kemas di dalam rak pameran kedai berjaya dilarikan penjenayah dan lelaki itu melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang menunggu di luar pasar raya itu, dan kerugian dianggarkan berjumlah RM1 juta,” katanya.