• 2025-10-16 04:07 PM

KLANG: Pihak sekolah mengetahui suspek yang menikam pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya Selasa lepas hanya mempunyai masalah pembelajaran.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar menegaskan dakwaan yang tersebar mengatakan pihak sekolah mengetahui suspek berumur 14 tahun itu mempunyai masalah mental adalah tidak benar.

“Saya berpendapat tidak adil untuk saya memberikan komen tentang keadaan mental tersebut kerana pihak polis bukan pakar psikiatri,“ katanya ketika ditemui selepas mengadakan Walkabout bersama Usahawan Little India bersempena sambutan Deepavali di Jalan Tengku Kelana.

Beliau menekankan bahawa siasatan setakat ini menunjukkan suspek hanya menjalani proses kaunseling pemulihan untuk membaiki kaedah pembelajaran.

Shazeli berkata pihaknya sedang melihat kepada pengaruh permainan video serta kandungan media sosial tertentu yang berkemungkinan menjadi faktor pendorong kepada tindakan kejam itu.

Sebanyak dua lagi individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan hari ini selain hasil bedah siasat terhadap mangsa remaja perempuan itu akan diketahui dalam masa sebulan.

“Polis kini sedang meneliti semua aspek termasuk motif dan pengaruh luar yang mungkin mendorong tindakan suspek,“ katanya.

Semalam media melaporkan remaja lelaki yang menikam rakan sekolahnya sehingga maut didapati meminati mangsa secara rahsia.

Mahkamah Majistret semalam turut membenarkan reman selama tujuh hari terhadap remaja itu bagi membantu siasatan. – Bernama