IPOH: Polis Perak mempertingkatkan kawalan keselamatan di 16 buah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh (IPD) dan 107 balai polis di negeri itu susulan kejadian serangan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya juga turut menambah anggota yang bertugas pada sebelah malam di setiap IPD dan balai polis sebagai langkah untuk memperketatkan keselamatan.

“Saya telah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah supaya mengkaji dan melihat mana-mana balai polis yang terdapat sebarang kekurangan yang membolehkan potensi berlakunya ancaman.

“Selain itu, kita juga akan menambah baik dari aspek pencahayaan di pintu masuk serta memperbaiki mana-mana pagar yang sudah uzur dan rosak bagi memperkukuhkan lagi tahap keselamatan dan perimeter di kawasan IPD ataupun keseluruhan balai,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata mana-mana individu yang datang ke IPD atau balai polis untuk sebarang urusan juga perlu diperiksa jika ada membawa beg atau bungkusan dengan lebih terperinci.

“Kita berharap orang ramai dapat memberi kerjasama lebih erat dengan pihak polis dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik seterusnya dapat memastikan keselamatan ketenteraman awam dipelihara dan dipertingkatkan daripada semasa ke semasa,“ katanya.

Dalam kejadian awal pagi Jumaat lepas, seorang lelaki berusia 21 tahun menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor sehingga mengakibatkan dua anggota polis terkorban dan seorang lagi tercedera sementara suspek turut ditembak mati.

Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said, 24 dan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, terkorban dalam insiden serangan kira-kira pukul 2.45 pagi.

Dalam insiden kedua di Pulau Pinang, seorang lelaki telah menceroboh dan cuba merampas senjata submesingan jenis HK MP5 milik seorang anggota polis di Balai Polis Dato’ Keramat pada Ahad lalu namun gagal selepas dia berjaya ditangkap pada hari sama.