LUMUT: Ujian asas fardu ain dan kelancaran bacaan al-Fatihah sebagai syarat wajib memasuki institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) GiatMARA, akan diperluas ke institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang lain.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata syarat tersebut, perlu disokong ibu bapa kerana ia diyakini melahirkan pelajar berdisplin dengan nilai kerohanian yang tinggi.

“Saya menyokong saranan jika syarat ini dikenakan ke atas semua pelajar bukan hanya di GiatMARA, tetapi juga instutisi lain seperti IKM (Institut Kemahiran MARA), dalam Islam soal syahadah ini bukan paksaan tetapi kewajipan, alangkah baiknya selain menjadi ahli profesional, mereka juga menjadi ahli ibadah,” katanya pada sidang media selepas melawat Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL-MIMET), di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan (BH) Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pelajar kemasukan baharu di 232 institusi TVET GiatMARA, diwajibkan melalui ujian asas fardu ain termasuk kelancaran bacaan al-Fatihah.

Asyraf dipetik berkata beliau mengarahkan ujian khas terbabit diperkenalkan berikutan ada dalam kalangan pelajar institusi itu dikenal pasti lemah dalam aspek agama.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata syarat tersebut tidak terpakai dan bukan paksaan kepada pelajar agama lain, justeru ia tidak perlu menjadi isu dan ibu bapa selain Islam tidak perlu khuatir mengenainya.

“La iqra hafiddin (tidak ada paksaan dalam agama (Islam), lakum dinukum waliyadin, bagiku agamaku dan bagimu agamamu,” katanya.

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara itu berkata mulai tahun lepas semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) juga telah memperkenalkan program Ulul Albab tanpa mengenepikan kepentingan matapelajaran yang lain.

Beliau berkata program itu mendapat sokongan ibu bapa, selain melahirkan pelajar lebih mempunyai disiplin dan kerohanian tinggi serta cepat menangkap pembelajaran yang diajarkan.