JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat pengeluar kopi dan pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyalahgunakan petunjuk geografi berdaftar ‘Tenom Coffee’ pada bungkusan produk kopi mereka.
Kes ini merupakan pendakwaan pertama seumpamanya di Malaysia di bawah Akta Petunjuk Geografi 2022.
KK Tanom Coffee Sdn Bhd sebagai syarikat tertuduh dan pengarahnya Lim Sen Tiam, 53 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Syarikat tersebut didakwa memakaikan dengan salah petunjuk geografi ‘KK Tanom Coffee’ pada plastik pembungkus Uncang Kopi-O 2 in 1 Kopi-O Kow 240g sebanyak 1,368 unit yang secara tidak langsung merujuk kepada petunjuk geografi berdaftar ‘Tenom Coffee’ tanpa kebenaran pemilik berdaftar.
Kesalahan didakwa dilakukan pada 25 Mac lepas kira-kira jam 12.10 tengah hari di sebuah premis di No. 104, Jalan Lagenda 5, Taman Lagenda Putra, Lagenda Industrial Park, Kulai, Johor.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 34(3) Akta Petunjuk Geografi 2022 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 34(3)(a) akta sama iaitu denda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan petunjuk geografi berdaftar dengan salah.
Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak lebih RM30,000 bagi setiap barang boleh dikenakan.
Lim sebagai pengarah syarikat juga didakwa melakukan kesalahan sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34(3)(b) akta berkenaan dibaca bersama Seksyen 67(1)(b) akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda hingga RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan dengan salah petunjuk geografi berdaftar atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan berikutnya, denda hingga RM20,000 bagi setiap barang atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan dan menetapkan sebutan semula kes pada 8 Oktober ini bagi serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Bahagian Undang-Undang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Muhammad Hakiim Izani serta Nur Sulehan Abd Rahman.
Lim diwakili oleh peguam YX Ching dalam prosiding mahkamah tersebut. – Bernama