KOTA KINABALU: Kementerian Komunikasi terus menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan pengamal media melalui penyaluran bantuan Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu wartawan yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Sabah baru-baru ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang sedang dalam lawatan kerja ke Sabah telah menyampaikan sumbangan tersebut kepada Salamat Tambanan, wartawan sambilan Asia Times Pulse yang kehilangan kediaman akibat bencana itu.
Pemberian sumbangan yang merangkumi bantuan kewangan dan barangan keperluan asas itu bertujuan membantu meringankan beban serta sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan kepada dunia kewartawanan.
Majlis penyampaian bantuan berlangsung di Kampung Sarapung, Penampang dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 Arul Rajoo Durar Raj.
Salamat yang merupakan penerima ke-31 di Sabah telah berkhidmat sebagai wartawan sambilan dengan Asia Times Pulse sejak tahun 1979.
Tabung Kasih@HAWANA yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi melalui Bernama telah memanfaatkan seramai 533 pengamal media di seluruh negara sejak dilancarkan pada April 2023.
Pelancaran tabung ini dilakukan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang bertujuan membantu pengamal media yang menghadapi kesulitan. – Bernama