• 2025-07-28 10:25 AM

ALOR GAJAH: Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2025 berjaya mengumpul RM2.186 juta setakat 24 Julai, menunjukkan sokongan rakyat Malaysia terhadap kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kempen ini turut memperkenalkan sumbangan melalui kod QR bagi memudahkan orang ramai menyumbang. Sasaran minimum ialah RM1 bagi setiap rakyat Malaysia.

“Kita tahu rakyat Malaysia melebihi 34 juta dan bayangkan kalau setiap seorang menyumbang minimum RM1, impaknya sangat besar. Untuk itu inisiatif QR Code ini diharap dapat menarik lebih ramai menyumbang, terutama generasi muda, agensi serta swasta,” katanya.

Majlis Minum Petang Bersama Veteran ATM Negeri Melaka turut diadakan sempena Hari Pahlawan 2025 di Dataran Gangsa. Seramai 120 veteran mewakili 22 persatuan menerima bantuan termasuk Bantuan Sara Hidup dan Bakul Rahmah.

Adly turut mengumumkan bahawa 151,000 ahli veteran ATM telah mendaftar menggunakan Kad Digital Veteran yang diperkenalkan pada September tahun lepas. Kad ini memudahkan akses maklumat kesihatan dan kebajikan melalui telefon pintar.

“Dengan adanya Kad Digital Veteran ini, para veteran tidak lagi perlu membawa kad fizikal, memandangkan semua maklumat ada dalam telefon pintar mereka. Jadi bagi yang belum melakukannya, kita amat menggalakkan agar mereka segera beralih kepada Kad Digital Veteran serta mengemas kini maklumat mereka.

“Walaupun kad fizikal masih digunakan namun versi digital ini menawarkan akses lebih mudah kepada ahlinya, terutama mengenai maklumat kesihatan, kebajikan dan lain-lain perkhidmatan,” katanya.

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) terus mengemas kini sistem tersebut bagi memastikan perkhidmatan kebajikan lebih moden dan efisien - Bernama