ALOR SETAR: Kementerian Pengangkutan menyeru orang ramai supaya memanfaatkan perkhidmatan bas berhenti-henti BAS.MY yang disediakan di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST). Menteri Pengangkutan Anthony Loke menekankan bahawa kerajaan telah memperuntukkan dana besar untuk memastikan perkhidmatan ini membantu rakyat, terutamanya di kawasan bandar.
“Sebab untuk saya meyakinkan Kementerian Kewangan bagi peruntukan kepada saya (Kementerian Pengangkutan), saya kena tunjuk data, saya kena tunjuk prestasi sama ada perkhidmatan ini benar-benar membantu rakyat,“ kata Loke. Beliau menambah, jika perkhidmatan ini tidak digunakan, sukar untuk memujuk Kementerian Kewangan menambah peruntukan pada masa depan.
Bagi program SBST Kota Setar, kerajaan memperuntukkan RM78.50 juta untuk tempoh lima tahun, bersamaan RM15.70 juta setahun. Sejak mula beroperasi pada 1 Jun lalu, kira-kira 30,000 pengguna telah menggunakan perkhidmatan ini di daerah Kota Setar, dengan angka dijangka meningkat pada bulan ini.
“Kos kita adalah kos tetap. Berapa orang penumpang pun kita bayar kos sama. Jadi kalau lebih ramai penumpang pakai, kos purata setiap penumpang akan menurun,“ jelas Loke.
Selain itu, Loke turut menyentuh mengenai kemalangan maut yang melibatkan BAS.MY di Kota Sarang Semut. Beliau menegaskan bahawa siasatan penuh diserahkan kepada pihak polis, sementara Kementerian Pengangkutan hanya membantu dari segi siasatan teknikal.
“Sudah tentu kita mensyaratkan syarikat-syarikat bas ini sentiasa mematuhi peraturan dari segi kelajuan, latihan pemandu yang telah pun diperkenalkan kepada pengendali syarikat,“ katanya - Bernama