SINGAPURA: Taikun hartanah kelahiran Malaysia yang berpangkalan di Singapura, Ong Beng Seng, dikenakan denda maksimum S$30,000 pada Jumaat kerana bersubahat menghalang keadilan dalam kes berkaitan bekas Menteri Pengangkutan S. Iswaran, menurut laporan media tempatan.
Hakim Daerah Utama Lee Lit Cheng bersetuju dengan pihak pendakwaan dan pembelaan bahawa belas kasihan kehakiman wajar diberikan dalam kes ini berikutan masalah kesihatan serius yang dihadapi Ong, lapor The Straits Times (ST).
Hakim itu menyatakan bahawa jika faktor kesihatan tidak diambil kira, hukuman yang setimpal ialah penjara tiga bulan.
Ong, 79, menghidap mieloma multipel tahap lanjut, sejenis kanser yang tidak dapat diubati, yang telah merosakkan sistem rangkanya dan menjejaskan sistem imun secara serius, menjadikannya sangat terdedah kepada jangkitan yang mengancam nyawa.
Beliau juga mengalami komplikasi lain yang meningkatkan lagi risiko jangkitan dan gangren.
Pada 4 Ogos, pengasas dan bekas pengarah urusan Hotel Properties Limited itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan bersubahat menghalang keadilan mengikut Seksyen 204A(a) dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Satu lagi pertuduhan bersubahat dengan seorang penjawat awam untuk memperoleh hadiah di bawah Seksyen 165 diambil kira untuk tujuan hukuman.
Ahli perniagaan itu yang memainkan peranan penting membawa perlumbaan Formula Satu (F1) ke Singapura, mengaku terhadap pertuduhan berkaitan perjalanan ke Qatar pada Disember 2022, yang dihadiri Iswaran atas jemputannya.
Iswaran tidak membayar tiket penerbangan pergi ke Doha atau pulang ke Singapura, mahupun penginapan hotel. Beliau menaiki jet peribadi Ong, manakala penginapan hotel dan penerbangan pulang kelas perniagaan dibayar oleh Singapore GP Pte Ltd (SGP) atas arahan Ong.
Pada Oktober 2024, Iswaran dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan memperoleh barangan berharga sebagai penjawat awam dan satu pertuduhan menghalang keadilan.
Pertuduhan menghalang keadilan itu berkaitan S$5,700 yang dibayar semula oleh Iswaran kepada SGP bagi kos penerbangan pulang kelas perniagaan dari Doha ke Singapura pada 2022, selepas mendapati agensi pencegahan rasuah negara itu telah merampas manifes penerbangan yang mengandungi butiran perjalanan tersebut.
Pihak pendakwaan menyatakan Ong turut mengetahui bahawa tindakan Iswaran membuat bayaran balik itu berkemungkinan menghalang proses keadilan, lapor ST.
Sebelum ini, pihak pendakwaan menyatakan hukuman penjara selama lapan minggu lazimnya sesuai bagi pertuduhan tersebut.
Pihak pembelaan bersetuju dengan penilaian itu dalam keadaan biasa tetapi merayu agar mahkamah menggunakan belas kasihan kehakiman dan mengenakan hukuman denda memandangkan keadaan kesihatan Ong yang serius.
Selepas meneliti bukti perubatan, pihak pendakwaan menerima bahawa terdapat alasan bagi mahkamah mempertimbangkan belas kasihan kehakiman dan tidak membantah hukuman denda- BERNAMA