KUALA LUMPUR: Komuniti di tujuh kawasan perumahan di Cheras, yang terlibat dalam Program Taman Angkat berperanan penting sebagai ‘mata’ dan ‘telinga’ polis dalam membantu usaha pencegahan jenayah.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ravindar Singh Sarban Singh berkata program yang diperkenalkan pada Januari lepas itu akan memberi impak positif kerana penyaluran maklumat oleh penduduk setempat dapat membantu pihaknya melakukan pencegahan jenayah selain membuat tangkapan dengan cepat.

“Adalah sukar untuk polis mengawasi setiap pelusuk kawasan kerana terdapat banyak laluan keluar masuk. Oleh itu, dengan adanya kerjasama daripada masyarakat, mereka menjadi mata dan telinga bagi pihak polis.

“Ini banyak membantu kami, dan masyarakat juga lebih memahami peranan mereka dalam membantu pihak berkuasa. Selain itu, indeks jenayah di kawasan ini juga kekal terkawal,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Cheras, hari ini. Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 20 pengamal media pada majlis tersebut.

Ravindar Singh berkata Taman Angkat itu membabitkan Perumahan Awam Seri Sabah 3B, Perumahan Awam Seri Pulau Pinang, Taman Midah, Taman Miharja Fasa1, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan, PPR Raya Permai dan PPR Pinggiran.

Beliau berkata menerusi program tersebut penduduk setempat akan menyertai pelbagai program selain dilatih mengenai proses dalam menyampaikan maklumat dengan menggunakan saluran betul kepada pihak polis.

Ravindar Singh, yang kini sudah lima bulan mengetuai IPD Cheras berkata program tersebut akan diteruskan di beberapa kawasan perumahan lain di daerah tersebut.