• 2025-10-05 02:31 PM

SEREMBAN: Keputusan untuk rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla menandatangani borang Permohonan untuk Pelepasan Segera selepas ditahan di Penjara Ketziot Israel bertujuan mempercepat proses penghantaran pulang mereka.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan langkah itu merupakan prosedur operasi standard yang telah dimaklumkan kepada delegasi lebih awal oleh sekretariat misi kemanusiaan tersebut.

“Apabila mereka menandatangani borang itu, tidak perlulah mereka melalui proses perundangan yang rumit di Israel dan besar kemungkinan terpaksa ditahan lebih lama jika tidak menandatanganinya,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Mawlid Masjid Sheikh Haji Ahmad di sini hari ini.

Beliau menegaskan GSF bukan misi keganasan tetapi misi keamanan untuk membantah kekejaman Israel tanpa membawa sebarang senjata di dalam bot.

“Jangan salah faham apabila ada orang mempertikaikan kita mengalah dengan menandatangani borang tersebut kerana kita bukan menyerah kalah sebaliknya mengamalkan diplomasi secara lembut dan diam,“ jelas Mohamad.

Tindakan menandatangani borang pelepasan itu juga memudahkan urusan diplomatik memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Israel.

Malaysia hanya meminta bantuan daripada negara rakan termasuk Turkiye, Jordan dan Mesir untuk urusan pembebasan tersebut.

Proses dokumentasi dan urusan membawa pulang kesemua 23 aktivis Malaysia yang telah dibebaskan dan kini berada di Istanbul akan diuruskan Jabatan Perdana Menteri.

Kesemua mereka dijadualkan berlepas pulang ke tanah air esok menurut Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia itu ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3 Laut Mediterranean.

Mereka kemudian dibawa ke pelabuhan Ashdod Israel sebelum dipindahkan ke Penjara Ketziot.

Kerajaan akan terus memantau pergerakan lapan lagi sukarelawan rakyat Malaysia yang membabitkan pakar perubatan, wartawan dan aktivis kemanusiaan menyertai gelombang ketiga misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Setakat ini kita belum menerima maklumat terkini mengenai mereka dan saya akan berhubung dengan pihak berkaitan,“ kata Mohamad.

Sekiranya mereka ditahan, kerajaan mungkin akan menggunakan cara yang sama termasuk meminta tandatangan borang pelepasan untuk meringkaskan proses perundangan. – Bernama