• 2025-09-04 04:18 PM

SUBANG JAYA: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak perlu menyertai terlalu banyak kejohanan Super Series selepas telah mengesahkan tempat dalam saingan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hasil kejayaan meraih gelaran juara dunia di Paris, Ahad lepas.

Ketua jurulatih beregu campuran Nova Widianto memaklumkan sebelum ini anak buahnya perlu menyertai kejohanan hampir setiap minggu namun situasi kini sudah berbeza dan perancangan baharu akan diatur bersama pemain serta pengurusan.

“Saya rasa kita akan pilih (pertandingan) kerana sebelum ini kita sertai banyak kejohanan untuk mendapatkan tiket ke Jelajah Akhir. Tapi sekarang kita sudah layak dan mahu atau tidak, kita perlu pilih.

“Yang pasti Super 750 dan 1000 kita pergi manakala untuk Super 500 mungkin kita akan tengok dulu sebelum membuat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Nova turut memaklumkan penyertaan mereka ke Terbuka Hong Kong masih belum diputuskan kerana beberapa perkara perlu diteliti.

Bagaimanapun, beliau berkata fokus kini kepada tiga kejohanan utama iaitu Masters China (16-21 Sept), Terbuka Denmark (14-19 Okt) dan Terbuka Perancis (21-26 Okt).

Tang Jie-Ee Wei melakar sejarah baharu badminton negara apabila menjadi beregu campuran pertama mara ke final Kejohanan Dunia sebelum menutup kempen penuh bergaya dengan merangkul kejuaraan.

Untuk rekod, Malaysia kini memiliki dua pasangan juara dunia dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik terlebih dahulu mencipta sejarah di Tokyo pada 2022. – Bernama