Your Title

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini mengarahkan pihak perunding sebuah tapak pembinaan kondominium di Wangsa Maju menghentikan segala kerja pembinaan.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia susulan terdapat keretakan pada struktur shear wall, tiang dan lantai unit di tingkat 8 dan ke atas J Satine hasil siasatan terhadap aduan diterima daripada penduduk berhampiran berkaitan berlakunya letupan di tapak itu pada 7 Nov lepas.

“Satu notis di bawah Seksyen 70B(2), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) telah dikeluarkan (stop work order) oleh DBKL kepada pihak perunding serta mengarahkan supaya tindakan diambil,“ menurut kenyataan itu.

DBKL turut mengarahkan pihak perunding supaya melantik jurutera bebas bagi menjalankan pemeriksaan integriti struktur keseluruhan pembangunan J Satine dan mengemukakan laporan hasil daripada pemeriksaan integriti struktur.

Selain itu, pihak perunding juga diarahkan menjalankan kerja-kerja rektifikasi berdasarkan pengesyoran daripada jurutera bebas.

“Tempoh pemberhentian pembinaan projek adalah berdasarkan kepada pelaksanaan perkara diarahkan. Punca letupan dan kegagalan struktur belum ditentukan sehingga laporan integriti struktur dikemukakan kepada DBKL.

“DBKL mengambil perhatian serius terhadap insiden yang berlaku dan orang awam turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan mengeluarkan kenyataan tidak berasas, khususnya melalui saluran media sosial,” menurut kenyataan itu.