• 2025-08-02 01:59 PM

JOHOR BAHRU: Kadar tarif 19 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia tidak akan menjejaskan daya saing komoditi negara di pasaran antarabangsa, menurut Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau menjelaskan bahawa kadar tersebut masih kompetitif berbanding negara-negara ASEAN lain, termasuk Indonesia, yang turut dikenakan tarif sama walaupun menjadi pengeluar minyak sawit terbesar dunia.

“Kalau tengok kelapa sawit, Indonesia (pengeluar) nombor satu dunia dan kita nombor dua. Indonesia pun kena tarif 19 peratus, sama seperti kita, kira okey dan ini maknanya adil,“ katanya ketika diminta mengulas kesan tarif AS terhadap pasaran komoditi negara.

Johari berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang.

AS telah melaksanakan kadar tarif dikurangkan sebanyak 19 peratus ke atas import dari Malaysia, berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025. Kadar ini lebih rendah berbanding cadangan awal sebanyak 25 peratus.

Barangan dalam transit diberi tempoh penangguhan tujuh hari bagi mengurangkan kesan serta-merta terhadap rantaian bekalan. - Bernama