• 2025-09-10 07:33 PM

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini mendengar telefon awam di dua blok asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar telah ditutup selama dua hari bermula 16 Julai lepas.

Penutupan itu berlaku selepas insiden membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia pada 17 Julai.

Pengawal keselamatan sekolah Linah Mansoding @ Jaliha mendedahkan perkara itu ketika menjawab soalan peguam keluarga Zara Qairina, Shahlan Jufri pada hari kelima prosiding inkues.

Linah menjelaskan pelajar biasanya menggunakan kad untuk membuat panggilan melalui telefon awam atau meminjam telefon pengawal keselamatan jika baki kad mereka habis.

“Telefon awam ditutup selama dua hari, dua malam...sebab takut budak-budak telefon ibu bapa,“ katanya ketika ditanya mengenai akses komunikasi pelajar dalam tempoh berkenaan.

Beliau memberitahu suis telefon awam telah ditutup atas arahan ketua warden sekolah tersebut.

Linah sebelum ini memberi keterangan beliau menemui Zara Qairina dalam keadaan terlentang di longkang, tidak sedarkan diri dengan kesan darah pada tengkuk sekitar 3 pagi 16 Julai.

Koroner Amir Shah Amir Hassan memaklumkan beliau bersama pasukan pendakwa raya, peguam dan pakar patologi Dr Jessie Hiu akan melawat lokasi kejadian di sekolah berkenaan esok.

Media tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah semasa lawatan tersebut dengan prosiding akan disambung semula di mahkamah selepas lawatan.

Zara Qairina yang berusia 13 tahun meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas dimasukkan sehari sebelumnya.

Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan pada 13 Ogos selepas meneliti laporan siasatan polis dan mengeluarkan perintah menggali semula kubur untuk bedah siasat pada 8 Ogos. – Bernama