SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan berangkat merasmikan Warna-Warni Botani: Festival Fabrikasi 2025 di Taman Botani Negara Shah Alam di sini.
Keberangkatan tiba baginda pada 10 pagi disambut Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) Datuk Fully Chye Goet Lee, yang juga penganjur festival.
Berlangsung hingga 28 Sept, festival itu bertujuan meningkatkan tahap apresiasi masyarakat terhadap kelestarian alam melalui seni tekstil berasaskan teknik natural dye dan eco printing selain membuka ruang kolaborasi antara penggiat seni, penyelidik, pereka fesyen dan komuniti.
Fully Chye berkata natural dye adalah teknik pewarnaan fabrik menggunakan bahan semula jadi seperti daun, bunga, kulit kayu dan akar tumbuhan manakala eco printing ialah kaedah mencetak corak secara langsung daripada daun atau bunga ke atas kain.
“Kedua-dia teknik itu dipilih kerana lebih mesra alam, tidak mencemarkan sungai dan tanah seperti pewarna sintetik dan pada masa sama mengekalkan nilai warisan tradisi,“ katanya dalam ucapan pembukaan pada majlis itu di sini hari ini.
Beliau berkata 30 usahawan berstatus B40 dan eKasih diberikan peluang menjual produk mereka sepanjang empat hari penganjuran festival itu, termasuk menyertai bengkel dan sesi perkongsian untuk membantu meningkatkan kemahiran, membina rangkaian serta menjana pendapatan secara berterusan.
Fully Chye berkata festival berkenaan lahir daripada iltizam pihaknya untuk memperkenalkan keunikan khazanah flora tropika negara yang kaya dengan warna alam dan menghubungkan tiga dimensi penting iaitu alam sekitar, pendidikan dan ekonomi.
Antara tarikan yang diketengahkan ialah reruai usahawan (produk kraf), bengkel interaktif (eco printing, natural dye, plastic to textile), pameran eksklusif Corona Warna-Warni (30 rona daripada 20 spesies tumbuhan) dan Edu Tourism (pembelajaran yang menggabungkan seni, budaya dan kelestarian) - Bernama