SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda pada 10.20 pagi disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Aminurrahim Mohamed.
Dalam majlis bersejarah itu, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Pegawai Kadet SISPA Terbaik kepada 24 pegawai mewakili Institusi Pengajian Tinggi (IPT) masing-masinng dan satu anugerah khas iaitu Piala Ketua Pesuruhjaya Perdana (Best Among The Best).
Sebanyak 918 pelajar ditauliahkan berpangkat Leftenan Muda (Pertahanan Awam) pada majlis hari ini.
APM dalam kenyataan memaklumkan Kor SISPA yang diperkenalkan sebagai modul kokurikulum berstruktur sejak 2010 antara lain bertujuan memperkasakan pelajar sepanjang tempoh pengajian dengan ilmu dan latihan dalam bidang pertahanan awam.
Kor SISPA memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan yang berjiwa kesukarelawanan, mempunyai sifat kepimpinan serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dan bencana.
“Setelah menamatkan semua modul latihan ditetapkan, Pegawai Kadet SISPA yang layak, akan ditauliahkan kepada pangkat Leftenan Muda (PA) bagi pelajar Sarjana Muda, atau Staf Muda (PA) bagi pelajar Diploma,“ menurut kenyataan itu - BERNAMA