KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa beliau tidak pernah mempertimbangkan untuk bertanding dalam sebarang Pilihan Raya Kecil (PRK) sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Beliau berkata perkara itu tidak menjadi sebahagian daripada pertimbangannya ketika mengambil keputusan untuk meletak jawatan dalam UMNO dan menyatakan niat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 30 Mei lepas.

“Saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan tentang perkara ini pernah berlaku dan ia bukan sebahagian daripada pertimbangan saya dalam membuat keputusan ini.

“Saya sememangnya tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan yang mendesak kerana PRK juga melibatkan masa dan duit rakyat,” katanya menerusi hantaran di akaun media sosial hari ini.

Mengenai keputusan beliau untuk berundur daripada UMNO, Tengku Zafrul sekali lagi menegaskan bahawa perkara itu adalah pilihan peribadinya dan bukan atas sebarang paksaan.

“Saya akui, ia bukanlah suatu keputusan yang mudah, namun saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan cukup mendalam.

“Di dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap individu mempunyai hak untuk membuat pilihan peribadi dan saya amat menghargai semua pandangan serta penerimaan terhadap keputusan ini,” katanya.

Tengku Zafrul turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta seluruh akar umbi terutamanya UMNO Bahagian Kota Raja atas sokongan yang diberikan sepanjang beliau bersama parti itu.

Berhubung kedudukannya sebagai Menteri Kabinet, Tengku Zafrul berkata beliau menyerahkan hal itu sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti. Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat dan selagi khidmat saya diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu kepada jawatan,“ katanya.

Tengku Zafrul juga berkata beliau akan terus melaksanakan tugasnya sebagai Ahli Dewan Negara hingga tamat tempoh perkhidmatan pada Disember ini.