• 2025-10-02 12:50 PM

ISTANBUL: Tentera laut Israel telah menyerang flotila bantuan antarabangsa yang menuju ke Semenanjung Gaza dan menahan aktivis di atas kapal.

Global Sumud Flotilla memaklumkan tentera Israel mengepung kapal-kapal itu ketika mereka belayar menuju Gaza untuk mencabar sekatan Israel yang telah berlarutan selama bertahun-tahun.

Para aktivis melaporkan gangguan isyarat dan talian komunikasi terputus pada kebanyakan bot.

Jawatankuasa Antarabangsa untuk Menamatkan Kepungan Gaza mengesahkan bahawa tentera Israel menyerbu enam buah kapal termasuk Alma, Sirius, Adara dan Deir Yassin.

Beberapa aktivis memuat naik video di media sosial yang menunjukkan bot-bot tentera laut Israel menghampiri konvoi itu dan mengarahkan mereka menukar haluan.

Jawatankuasa itu menyatakan di platform X bahawa mereka sedang diserang sekarang oleh tentera Israel dengan beberapa kapal telah pun dipintas.

Mereka mengisytiharkan keadaan darurat di semua kapal dengan kamera tidak berfungsi dan kapal-kapal telah dinaiki oleh anggota tentera.

Jawatankuasa itu menuduh Israel menggunakan kekerasan terhadap para aktivis dengan menyatakan bahawa tentera laut merempuh sebuah kapal.

Tentera laut juga didakwa melepaskan tembakan meriam air dan menaiki kapal secara paksa sambil mengasari tahanan yang aman dari 50 negara di seluruh dunia.

Penganjur berkata kira-kira 70 aktivis telah ditahan setakat ini.

Kementerian Luar Israel mengesahkan bahawa beberapa aktivis telah ditahan dan akan dibawa ke sebuah pelabuhan Israel.

Kementerian itu berkata tentera laut telah sampai ke flotila berkenaan dan mengarahkan aktivis untuk mengubah haluan ke pelabuhan Ashdod di selatan Israel.

Bantuan akan menjalani pemeriksaan di pelabuhan Ashdod sebelum dapat disalurkan ke Gaza.

Stesen televisyen Israel Channel 13 yang memetik sumber berkata operasi untuk merampas flotila itu akan berterusan sehingga Khamis.

Flotila bantuan itu berada kurang 80 batu nautika dari Gaza sebelum dipintas oleh Tentera Laut Israel.

Para aktivis mengesan lebih 20 bot tentera laut Israel menghampiri konvoi itu dengan tentera laut mengarahkan mereka menukar haluan.

Seorang jurucakap flotila berkata bot-bot Israel yang mendekati itu jelas bergerak untuk mengenakan sekatan ke atas flotila berkenaan.

Pemintasan itu berlaku selepas konvoi melepasi titik di mana kapal Madleen dan Handala pernah dipintas oleh Israel pada Jun dan Julai lepas.

Rakaman siaran langsung dari flotila menunjukkan aktivis memakai jaket keselamatan ketika bot-bot Israel menghampiri kapal mereka.

Serangan Israel itu berlaku walaupun terdapat rayuan daripada pertubuhan antarabangsa termasuk Amnesty International supaya flotila bantuan berkenaan dilindungi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga memberi amaran bahawa sebarang serangan ke atas konvoi itu tidak boleh diterima.

Rejim Israel sebelum ini pernah memintas kapal-kapal yang menuju ke Gaza, merampas kargo mereka dan menghantar pulang aktivis di atas kapal.

Flotila itu yang sebahagian besarnya membawa muatan bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan belayar pada akhir Ogos lepas.

Ini merupakan kali pertama dalam beberapa tahun lebih 50 kapal belayar bersama menuju Gaza dengan membawa 532 orang awam yang menyokong misi itu dari lebih 45 negara.

Israel telah mengenakan sekatan ke atas Gaza yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk selama hampir 18 tahun.

Israel mengetatkan lagi kepungan itu pada Mac apabila ia menutup lintasan sempadan serta menghalang penghantaran makanan dan ubat-ubatan sehingga mendorong wilayah itu ke ambang kebuluran.

Sejak Oktober 2023, serangan bom Israel telah membunuh lebih 66,100 rakyat Palestin dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi manusia telah berulang kali memberi amaran bahawa Gaza sedang diubah menjadi kawasan tidak boleh didiami.

Kebuluran dan penyakit merebak dengan pantas di Gaza menurut laporan antarabangsa. – Bernama-Anadolu