KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan bernilai RM93,000 bagi membantu masjid dan surau di Parlimen Kulai, Johor melaksanakan aktiviti dan program pada bulan Ramadan.
Teo dalam kenyataan berkata sumbangan itu disampaikan kepada Pengerusi Masjid dan Surau Daerah Kulai Fizwan Mohd Rashidi hari ini untuk diserahkan kepada 30 masjid dan 57 surau di bawah Parlimen itu sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata setiap masjid menerima RM1,200 manakala setiap surau menerima RM1,000.
“Diharapkan pada bulan Ramadan ini, semua penduduk di Kulai tanpa mengira kaum dan bangsa dapat berganding bahu untuk bersama-sama menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh masjid dan surau.
“Ia dapat memberikan semangat kerjasama dan membina sebuah masyarakat yang harmoni dan bersatu,” katanya.