KUALA LUMPUR: Peluang beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah untuk beraksi di Terbuka Denmark pada 18 hingga 23 Okt ini, masih samar-samar berikutan kecederaan dialami Pearly di Terbuka Jepun.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky berkata buat masa ini pihaknya masih menilai tahap kesediaan Pearly bagi menghadapi kejohanan tersebut kerana masih lagi dalam proses pemulihan susulan kecederaan hamstring dialaminya awal bulan ini.

“Tadi, Pearly sudah boleh melompat cuma tidak mampu lakukan banyak pergerakan atas gelanggang tapi ini soal keyakinan sahaja kerana secara keseluruhan, kemajuan pemulihannya sangat menakjubkan.

“Kita akan lihat status Pearly sehingga hujung bulan ini. Jika tahap kepercayaan dirinya stabil, kami mungkin akan hantar mereka (Terbuka Denmark), jika tidak mereka tarik diri dan cuba sertai Terbuka Hylo atau Terbuka Australia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.

Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman akan berlangsung pada 1 hingga 6 Nov manakala Terbuka Australia di Sydney pula dijadual pada 15 hingga 20 Nov.

Sementara itu, Rexy mengesahkan juara Kejohanan Antarabangsa Syed Modi 2022, Anna Cheong Ching Yik-Teoh Mei Xing menarik diri dari Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis (25 hingga 30 Okt).

Menurut beliau, kecederaan lutut dialami Anna ketika sesi latihan dua minggu lepas menyebabkan pemain berkenaan terpaksa melupakan hasrat beraksi di dua kejohanan Eropah itu.

“Anna salah lompat ketika sesi latihan, beliau perlu rehat sekurang-kurangya enam minggu. Sekiranya sempat sembuh, kami akan cuba masukkan mereka berdua dalam Terbuka Australia,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image