AFPAFP

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani merangkul kemenangan sulung mereka musim ini, selepas menundukkan juara dunia dari Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae pada Terbuka Jepun 2024 hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Yokohama Arena pasangan kini di kedudukan ke-12 dunia itu yang pada mulanya ketinggalan, berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan 15-15 sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-19.

Set kedua menyaksikan Sze Fei-Nur Izzudin meneruskan momentum kemenangan untuk terus mendominasi perlawanan sebelum mengakhiri saingan dengan 21-15, untuk menjuarai kejohanan berstatus Super 750 itu dan membawa pulang hadiah wang kemenangan US$62,900 (RM274,000).

Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau 22 tahun kejuaraan beregu lelaki negara pada Terbuka Jepun, selepas kali terakhir dimenangi menerusi gandingan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng pada 2002.

Semalam, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan untuk menerima permohonan Sze Fei-Nur Izzuddin bergerak secara profesional bermula 1 Sept ini.