KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kejuaraan beregu badminton negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik di Terbuka Singapura 2025 sebagai mengharumkan nama negara serta menyatukan seluruh Malaysia dalam sorakan dan rasa syukur.

Ahmad Zahid dalam hantaran di Facebook malam ini menzahirkan rasa bangga dan terharu melihat pencapaian pasangan itu bangkit penuh bergaya menundukkan beregu Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam perlawanan akhir yang mendebarkan.

“Kejayaan ini bukan sekadar satu kejuaraan. Ia adalah lambang semangat juang yang tidak pernah mengalah, kecekalan dua anak muda Malaysia yang tidak pernah berputus asa serta kebanggaan buat seluruh rakyat.

“Saya difahamkan bahawa mereka juga pernah bertemu di peringkat suku akhir Kejohanan Terbuka India pada Januari lalu, di mana Aaron-Wooi Yik tewas dalam pertarungan sengit. Namun hari ini, mereka bangkit menebus kekalahan lalu dan membuktikan siapa yang lebih kuat di pentas akhir,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasangan beregu negara itu yang disifatkan sebagai wira dan inspirasi rakyat Malaysia serta berharap mereka terus melangkah gagah demi tanah air.

Aaron dan Soh meneruskan rentak cemerlang apabila bangkit daripada kekalahan pada set pertama untuk merangkul kejuaraan Terbuka Singapura 2025 sekali gus menjulang gelaran ketiga mereka tahun ini.

Dalam aksi final keempat musim ini, bekas juara dunia dan pasangan No 3 dunia itu menewaskan beregu pilihan kelima dari Korea Selatan, Won Ho-Seung Jae 15-21, 21-18, 21-19 dalam pertarungan sengit selama 65 minit di Stadium Tertutup Singapura.

Lebih manis, ia juga menamatkan kemarau 17 tahun Malaysia untuk muncul juara beregu lelaki di Terbuka Singapura.

Kali terakhir kejuaraan itu dimenangi pasangan Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada edisi 2008.