MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) terus memperkukuh aspek keselamatan data jemaah haji dengan memastikan semua sistem dan aplikasi digital yang digunakan dalam operasi haji musim 1446H/2025M mematuhi garis panduan keselamatan siber yang ketat.

Pengarah Operasi Teknologi Maklumat TH Hanizam Hanif berkata setiap sistem yang dibangunkan dilindungi melalui penggunaan teknologi firewall serta kaedah penyulitan data (data encryption) bagi menjamin kerahsiaan dan keselamatan maklumat peribadi jemaah daripada sebarang bentuk pencerobohan siber.

“Kami berpegang kepada garis panduan Risiko Dalam Teknologi (RMIT) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan sistem kami kekal selamat dan kukuh,“ katanya dalam sidang media, di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Hanizam menasihati jemaah haji supaya tidak bimbang berikutan semua maklumat peribadi mereka diklasifikasikan sebagai data sulit dan dilindungi sepenuhnya melalui teknologi keselamatan canggih yang digunakan oleh TH, sekali gus tidak mudah terdedah atau dibocorkan.

Katanya TH juga telah mengintegrasikan sistem i-Sihat dengan sistem MyVAS dan MySejahtera milik Kementerian Kesihatan untuk memudahkan petugas mengakses maklumat jemaah.

“Langkah ini membolehkan petugas perubatan di Tanah Suci mengakses maklumat kesihatan jemaah dengan lebih cepat dan efisien, mengurangkan keperluan penggunaan buku rekod rawatan fizikal,” katanya.

Bagi memastikan kestabilan sambungan internet, Hanizam berkata TH telah bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi Arab Saudi iaitu Saudi Telecom Company (STC) bagi meningkatkan infrastruktur talian fiber optik di bangunan penginapan jemaah.

“TH juga melanggan perkhidmatan data mudah alih 5G dari tiga syarikat utama di Arab Saudi iaitu STC, Mobily dan Zain untuk digunakan semasa operasi di luar bangunan termasuk di kawasan Masyair,” katanya.

Beliau berkata dengan pelbagai penambahbaikan digital dan penggunaan teknologi maklumat secara menyeluruh, TH optimis pengalaman ibadah jemaah Malaysia di Tanah Suci dapat dipertingkatkan, sekali gus memastikan kelancaran keseluruhan operasi haji tahun ini.

Selain itu, katanya jemaah haji boleh menggunakan aplikasi THiJARI, THhujjaj, e-Bimbingan dan e-Taib bagi memudahkan urusan sepanjang di Tanah Suci.

“Setiap aplikasi yang dibangunkan TH mempunyai ciri mesra pengguna, ringkas dan tidak terlalu rumit untuk pelbagai lapisan generasi termasuk golongan berusia 60-an dan 70-an,” katanya.