• 2025-10-06 01:08 PM

BANGKOK: State Railway of Thailand (SRT) berjaya melaksanakan ujian tren pelancongan rentas sempadan “MySawasdee” dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Ujian percubaan tren MySawasdee berjalan lancar antara stesen Padang Besar dan Surat Thani dari 21 hingga 23 September lalu.

Gabenor SRT Veeris Ammarapala berkata kejayaan ujian ini menandakan langkah penting mempromosikan pelancongan berasaskan kereta api.

“Ia juga memperkukuh hubungan ekonomi, budaya dan persahabatan antara kedua-dua negara jiran,“ katanya dalam kenyataan.

Veeris menjelaskan kedua-dua pihak bersetuju dengan rangka kerja awal untuk memulakan operasi tren tetap sekitar Disember 2025.

Persetujuan itu dicapai semasa Persidangan Bersama KTMB–SRT ke-43 yang diadakan pada Ogos.

Tren MySawasdee dikendalikan menggunakan lokomotif jenis QSY milik SRT bagi laluan Padang Besar–Surat Thani.

Ujian meliputi pelbagai aspek teknikal utama termasuk ukuran jarak antara tren dan platform.

Ia juga merangkumi pemeriksaan jarak roda, ketinggian gerabak serta sistem brek bagi memastikan pematuhan piawaian keselamatan.

Veeris turut mendedahkan perancangan sedang dibuat untuk menjalankan ujian percubaan di sepanjang laluan Bangkok–Butterworth.

KTMB akan mengendalikan tren ujian tiga gerabak terdiri daripada satu gerabak berkuasa dan dua gerabak penumpang.

Ujian bersama di laluan Bangkok–Padang Besar ini sebagai persediaan pelancaran rasmi nanti.

“Pelanjutan perkhidmatan tren MySawasdee hingga ke Surat Thani menawarkan pengalaman perjalanan baharu dan unik kepada penumpang,“ katanya.

Ia juga membuka lebih banyak pilihan perjalanan dan menjana nilai ekonomi antara Thailand dan Malaysia.

Pada masa ini, tren MySawasdee yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Hatyai beroperasi hanya pada musim cuti. – Bernama