• 2025-07-27 10:30 AM

SONGKHLA: Thailand sebagai tuan rumah Sukan SEA 2025 memberi jaminan bahawa tahap keselamatan akan dipertingkatkan bagi memastikan acara Muay Thai di wilayah selatan Songkhla berjalan lancar, walaupun terdapat ketegangan politik dengan Kemboja.

Presiden Persatuan Muaythai Malaysia, Datuk Muhammad Shahnaz Azmi, berkata jaminan itu diberikan dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) baru-baru ini. Beliau turut memaklumkan bahawa Kemboja akan menghantar pasukan penuh ke temasya tersebut pada Disember ini.

“Kita punya pendirian memang kita jangan masukkan politik antara sukan ni. Politik antara negara dengan sukan kita bezakan. Setakat yang dimaklumkan, Kemboja akan datang dengan pasukan penuh dan Thailand pun tidak ada masalah untuk membenarkan Kemboja untuk datang,“ kata Muhammad Shahnaz.

LOC juga mengingatkan semua delegasi supaya mengelakkan sebarang bentuk isyarat politik, termasuk laungan atau simbol yang boleh mencetuskan ketegangan antara negara.

“LOC sudah ingatkan jangan Thailand laung, jangan Kemboja laung pasal tu. Sukan ialah sukan. Jadi, kedua-dua pengurus pasukan dan jurulatih bersetujulah dan memang tak ada masalah,“ tambahnya.

Sebuah lawatan teknikal ke lokasi pertandingan di Songkhla telah diadakan minggu lepas bagi memastikan keselamatan peserta dan penonton.

“Dari segi kontroversi, saya rasa Muay Thai sangat jujur dan mudah. Sebab dari segi pemarkahan dan sebagainya, dia sangat jelas lah. Dia subjektif tapi tak subjektif sangat,“ jelas Muhammad Shahnaz mengenai kejujuran sukan tersebut berbanding disiplin tempur lain - BERNAMA