KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk menyekat akses perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang gagal mendaftar lesen perkhidmatan masing-masing selepas 1 Jan tahun depan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata keperluan pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan bertanggungjawab dan memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat kepada pengguna platform.

Fahmi berkata pengguna masih boleh mengakses dan menggunakan platform berkenaan selepas peraturan itu berkuat kuasa.

“Itu (sekat akses) adalah last resort (langkah terakhir) untuk dibuat, kita tidak mahu ke arah itu. Apa yang kita mahu ialah bukan sekadar internet yang laju tetapi platform internet yang selamat untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Saifulruddin bertanyakan sama ada kerajaan akan menyekat akses platfom media sosial yang gagal mendaftarkan pelesenan masing-masing selepas peraturan itu dikuatkuasakan, selain risiko pertindihan peraturan tersebut dengan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian yang sedang digubal.

Mengenai pertindihan peraturan, Fahmi berkata kementerian itu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) melakukan banyak sesi libat urus bagi memastikan tidak berlaku pertindihan antara Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan rang undang-undang itu.

“Kedua-dua peraturan ini adalah bersifat complementary (saling melengkapi) antara satu sama lain,” katanya.

Menjawab soalan asal Wan Saifulruddin berhubung aspek kawal selia platform media sosial dan mengimbanginya dengan hak kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat, Fahmi berkata di bawah Akta 588, terdapat langkah perlindungan yang kukuh untuk mengimbangi keperluan kawal selia dan perlindungan kepada hak kebebasan bersuara serta kebebasan maklumat.

Beliau berkata pelaksanaan kerangka pelesenan itu antara lain turut bertujuan menangani isu-isu jenayah dalam talian tanpa menyekat inovasi dan pembangunan, malah penguatkuasaan pelesenan juga tidak menjejaskan pengguna.

“Pengguna akan terus dapat menikmati pengalaman digital yang lebih selamat dan kebebasan bersuara adalah hak asasi yang diiktiraf, yang telah termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun ia perlu disertai dengan tanggungjawab.

“Kebebasan yang tiada sempadan adalah kebebasan yang mengundang malapetaka. Oleh itu, tindakan ini adalah untuk memastikan keseimbangan antara kebebasan bersuara, keselamatan negara dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

Fahmi berkata seperti yang dijelaskan di bawah Rang Jaminan MSC Malaysia No.7, kerajaan tidak akan menapis Internet, namun tidak bermakna kandungan yang melanggar undang-undang boleh disebarkan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira peruntukan perundangan.

Beliau berkata proses rundingan awam draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) antara MCMC bersama penyedia perkhidmatan, orang awam, pemain industri dan pihak berkepentingan yang relevan telah diselesaikan pada Selasa dan MCMC kini dalam proses memuktamadkan draf kod berkenaan untuk penerbitan.

Sementara itu menjawab soalan berasingan yang dikemukakan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai penyediaan jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP) hab gentian optik di Parlimen Beaufort, Fahmi berkata sehingga 31 Okt lepas, sebanyak 67 PoP berjaya disiapkan sepenuhnya bagi Fasa Satu menjadikan 7,871 premis telah tersedia dengan sambungan gentian optik untuk dilanggan oleh komuniti setempat.

Manakala 636 PoP di negeri Sabah dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2025 dengan lima PoP telah selesai dibina di Parlimen Beaufort bagi Fasa Satu, menjadikan 579 premis di parlimen itu telah tersedia dengan sambungan gentian optik untuk dilanggan oleh komuniti setempat.