JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesahkan tiada mangsa dikhuatiri lemas dalam kejadian kemalangan jalan raya melibatkan dua motosikal berhampiran Pos Malaysia di Jalan Bazar Karat.
Komander Operasi PBK I Firdaus Abdullah berkata, semakan melalui rakaman CCTV Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menunjukkan hanya seorang mangsa tercampak akibat impak kemalangan, tetapi tidak jatuh ke dalam sungai seperti yang dilaporkan sebelumnya.
“Mangsa berkenaan telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut, menjadikan jumlah keseluruhan hanya tiga mangsa yang terlibat,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Skudai menjalankan operasi pencarian selepas menerima maklumat awal mengenai kemungkinan seorang mangsa terjatuh ke dalam saluran air laut berhampiran lokasi kejadian.
Operasi pencarian meliputi kawasan sepanjang 30 meter dan tiga kali selaman sedalam 12 kaki ke dasar sungai, namun tiada mangsa ditemui sebelum operasi ditamatkan pada 1.14 pagi.
Sebanyak 16 anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan menggunakan jentera Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS), tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM), serta kenderaan pacuan empat roda milik PPDA.