SHAH ALAM: Tiga anggota polis antara 14 individu yang ditahan kerana didapati positif dadah menerusi serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Dutamas, Cheras semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan ketiga-tiga anggota polis tersebut direman sehari.

“Tiga anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang itu juga telah ditukarkan serta-merta ke Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Kontinjen sementara menunggu hasil siasatan.

“Satu siasatan tatatertib juga menyusul untuk tindakan dalaman dikenakan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussein dalam masa sama turut menegaskan mana-mana pegawai dan anggota polis dilarang sama sekali untuk berada di pusat-pusat hiburan kecuali atas urusan tugas rasmi dan mereka yang ingkar bakal berdepan tindakan tegas termasuk tuduhan jenayah.