ALOR SETAR: Dua anggota dan seorang bekas polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pesalah kes dadah, dua tahun lepas.
Ahmad Rabani Rusnizal, 29, dan Mohamad Shukre Mohamed Rowi, 37, serta bekas polis Wan Mohd Nor Imran Wan Seman, 35, dituduh menerima suapan RM20,000 daripada seorang individu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki syabu.
Ketika itu, bekas anggota polis berkenaan berpangkat koperal, manakala Ahmad Rabani serta Mohamad Shukre masing-masing berpangkat lans koperal, bertugas di Unit Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Merbok.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pondok Polis Semeling di Kuala Muda pada 11.30 malam, 23 Julai 2023.
Sementara itu di mahkamah sama, Ahmad Rabani, Mohamad Shukre bersama seorang lagi anggota, iaitu Azmil Rizal Azhar, 34, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan secara bersama, bersetuju menerima suapan RM10,000 daripada seorang individu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana memiliki syabu.
Azmil yang berpangkat koperal dengan dua tertuduh berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di tempat yang sama pada 11 pagi hingga 11.30 pagi, 25 Okt 2023.
Ketiga-tiga juga mengaku tidak bersalah dengan satu lagi pertuduhan, iaitu memperoleh suapan sebanyak RM5,000 untuk tujuan sama, melalui pengeluaran (tunai) menggunakan kad debit di Seven Eleven Taman Lembah Bujang Indah, Merbok pada 1 pagi hingga 1.10 pagi, 26 Okt 2023.
Semua pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Hakim N. Priscilla Hemamalini menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap setiap tertuduh bagi kes pertama dan mengenakan jumlah sama untuk setiap tertuduh bagi kes kedua dengan seorang penjamin, serta menetapkan 20 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Zulfadli Azharudin, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Siti Salwa Ja’afar.