SHAH ALAM: Sebuah kilang penyimpanan gas musnah dalam kebakaran yang turut merebak ke dua bangunan lain di Taman Aman Perdana, Klang dekat sini tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata kebakaran menyebabkan tiga lelaki warganegara asing cedera parah akibat melecur, manakala empat lagi mangsa lelaki juga warganegara asing sempat menyelamatkan diri.
Beliau berkata kebakaran yang dipercayai bermula di kilang penyimpanan gas itu, merebak ke bangunan bersebelahan dan belakang, iaitu sebuah gudang penyimpanan jentera berat serta kilang memproses tembaga.
“Bomba menerima laporan mengenai kejadian kira-kira 12.55 tengah malam sebelum menggerakkan anggota dan jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara, Klang Selatan, Andalas, Bukit Jelutong, Kapar, Damansara dan Pelabuhan Klang ke lokasi kejadian.
“Kilang penyimpanan gas dan gudang penyimpanan jentera itu musnah 80 peratus, manakala kilang tembaga pula terbakar 20 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata seramai 43 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi berkenaan dan kebakaran berjaya dikawal kira-kira 2 pagi selain tiada kemalangan jiwa dilaporkan.