SHAH ALAM: Tiga kenderaan terbakar dalam kemalangan di Kilometer 4.4 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dari arah Setia Alam menghala ke Shah Alam, di sini petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata kejadian melibatkan dua kereta jenis sedan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda itu tidak melibatkan kemalangan jiwa, namun tiga pemandu kenderaan tersebut dilaporkan mengalami kecederaan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.38 petang sebelum menggerakkan lima anggota bersama jentera ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi 15 minit kemudian, didapati berlaku kebakaran melibatkan tiga kenderaan dengan dua buah kereta jenis sedan terbakar sepenuhnya manakala kenderaan pacuan empat roda terbakar 50 peratus.

“Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital sebelum bomba sampai dan setakat ini, tahap kecederaan dan maklumat mangsa belum diketahui,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata operasi pemadaman lebih satu jam itu selesai pada 5.20 petang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan lanjut mendapati kemalangan itu melibatkan empat kenderaan dan tiga lelaki warga tempatan serta seorang lelaki warga China berusia antara 22 hingga 39 tahun.

Dalam pada itu, Mohd Iqbal memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.