• 2025-07-06 09:19 PM

GEORGE TOWN: Tiga individu termasuk dua beradik mengalami kecederaan parah manakala seorang lagi cedera ringan selepas kereta pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang mereka naiki terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Jalan York.

Mangsa yang mengalami kecederaan serius dikenal pasti sebagai Rashidah Bee Shaik Mydin, 54, Fatimah Beevi P.M. Mydin, 59, dan Mydin Fatimah P.M. Mydin, 63.

Sementara itu, Mohd Barak Abdul Latiff, 64, mengalami kecederaan ringan.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.24 petang.

Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak segera bergerak ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati semua mangsa terperangkap di dalam kereta yang berada di dalam sungai. Operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas dan semua mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 4 petang,“ jelasnya dalam kenyataan rasmi.

Semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan dan unit EMRS JBPM untuk rawatan lanjut. – Bernama