Your Title

KUALA LUMPUR: Tiga penyampai radio di sebuah stesen milik Astro direhatkan daripada ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara menunggu siasatan dalaman syarikat ke atas insiden seolah-olah mempersendakan upacara agama lain.

Astro Audio dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius perkara tersebut dan melahirkan kekesalan atas satu insiden rakaman video melibatkan penyampai Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin yang telah dikongsi di platform media sosial ERA.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan Astro Audio memaklumkan bahawa mereka komited terhadap kepercayaan para pendengar serta memastikan persekitaran media dihormati dan menyeluruh.

Kenyataan itu turut menyebut syarikat penyiaran itu sedang mengambil langkah memperkukuh proses semakan kandungan, bagi memastikan program dihasilkan mencerminkan nilai dan jangkaan audiens.

Hari ini tular di media sosial tindakan penyampai radio di sebuah stesen milik Astro yang dilihat melakukan tindakan seolah-olah mempersendakan upacara agama lain.

Tiga penyampai radio itu kemudian tampil membuat permohonan maaf berhubung tindakan mereka yang disifatkan menyinggung sensitiviti kaum di negara ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan menjalankan siasatan terperinci berhubung tindakan kakitangan sebuah stesen radio milik Astro, yang dilihat mempersendakan upacara agama lain dan dimuat naik di platform media sosial pagi tadi.

Fahmi berkata ini termasuklah memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio tersebut untuk hadir ke ibu pejabat MCMC, bagi memberikan penjelasan penuh.

“Ini bertujuan untuk memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.