• 2025-07-09 10:45 AM

PETALING JAYA: Tiga warga asing berjaya diselamatkan dalam kejadian kebakaran sebuah gudang barangan runcit empat tingkat di Jalan Tandang, Petaling Jaya, awal pagi tadi. Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.05 pagi.

Sebanyak 16 anggota bomba bersama lima jentera dikerahkan ke lokasi untuk mengawal kebakaran yang melibatkan tingkat bawah bangunan gudang seluas 60 x 100 kaki persegi. Ahmad Mukhlis Mukhtar, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, berkata api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 4.04 pagi.

“Anggaran 40 peratus struktur bangunan terjejas akibat kebakaran. Kesemua mangsa, iaitu seorang lelaki India dan sepasang warga Myanmar, tidak mengalami kecederaan,“ jelasnya. Operasi pemadaman diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shahrul Nizam Shamshudin dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Penchala, Petaling Jaya, dan Damansara.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. - Bernama