LUMUT: Kehangatan matahari petang di Dataran Lumut Waterfront di sini, seolah-olah hilang seketika apabila Pancaragam Pusat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tampil menghiburkan orang ramai pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak, yang kini memasuki hari kedua.

Dengan persembahan selama 20 minit, pancaragam elit TLDM itu bukan sahaja memukau dengan muzik mereka, malah mencuri perhatian pengunjung yang membanjiri dataran sehingga ada yang sanggup berpanas, demi menyaksikan sendiri kehebatan wira negara itu beraksi di luar gelanggang ketenteraan mereka.

Lebih istimewa, Pengarah Muzik Pancaragam Pusat TLDM Komander Mohd Shamram Ramli berkata persembahan itu, dibawakan khas atas permintaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaku kementerian peneraju, bagi membuka peluang kepada orang ramai menyaksikan sendiri keunikan pancaragam tersebut.

Beliau berkata sebelum ini, persembahan itu pernah dipertontonkan di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) pada Mei, sehingga tular di media sosial selain semasa Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TLDM di Tanjung Pengelih, Johor, baru-baru ini.

“Sebenarnya kami cipta persembahan ini untuk menghiburkan masyarakat dan dalam masa yang sama mengetengahkan keunikan TLDM. Lagu-lagu yang dipersembahkan dalam pancaragam ini dipilih daripada senarai lagu yang viral,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Kali ini, kumpulan pancaragam itu tampil dengan elemen lebih santai disertakan nyanyian secara langsung, dengan drumline, serta aksi fire dragon yang memukau apabila semburan api menyala di udara, menambah suasana dramatik persembahan.

Apa yang lebih mencuit hati, kesemua anggota pancaragam kelihatan menikmati persembahan yang dibawa dengan menari-nari sambil bermain alat muzik, mencipta suasana mesra dan penuh keceriaan kepada orang ramai yang sanggup berpanas demi menyaksikan pertunjukan itu.

Mohd Shamram berkata pasukan pancaragam pusat TLDM itu, mempunyai kekuatan anggota seramai 65 orang, namun akibat kekangan lokasi bilangan itu dikurangkan kepada 55 anggota yang membuat persembahan bagi PMR 2025 Perak.

Sebelum pancaragam, orang ramai terlebih dahulu dipersembahkan dengan pertunjukan “Kawad Senyap” TLDM yang penuh disiplin, seragam dan tepat tanpa mengeluarkan sebarang bunyi termasuk arahan atau isyarat suara.

Pertunjukan itu ternyata memukau, apabila orang ramai dilihat sangat fokus terhadap persembahan yang memerlukan anggota mempunyai kawalan badan serta kerjasama yang tinggi bagi mengawal pergerakan mereka dengan koordinasi yang hebat.

Bagi yang tidak sempat untuk menyaksikan kedua-dua persembahan itu hari ini, bolehlah hadir ke PMR 2025 Perak di Dataran Lumut Waterfront esok pada dua petang untuk untuk pertunjukan sama.