• 2025-07-04 09:27 AM

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bahawa majoriti mahasiswa tidak akan terjejas dengan sebarang kenaikan tarif elektrik berkuat kuasa baru-baru ini. Lebih 23 juta isi rumah pengguna domestik, termasuk pelajar yang tinggal di kediaman biasa atau kolej, tidak akan mengalami kenaikan bil elektrik selagi corak penggunaan mereka terkawal.

Menurut kenyataan TNB, skim Masa Penggunaan (Time of Use-ToU) turut diperkenalkan untuk membantu pengguna, termasuk mahasiswa, menjimatkan bil elektrik dengan mengalihkan penggunaan ke luar waktu puncak. Sebagai contoh, penggunaan peralatan elektrik berat seperti mesin basuh dan pendingin hawa boleh dijadualkan pada waktu malam untuk menikmati kadar lebih rendah.

Selain itu, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta rumah kebajikan dan rumah ibadat ditawarkan rebat 10 peratus. Langkah ini bertujuan membantu institusi pendidikan menguruskan kos operasi dengan lebih cekap dan mengelakkan bebanan kewangan kepada pelajar.

TNB juga memperkenalkan Insentif Cekap Tenaga bagi pengguna domestik yang menggunakan kurang daripada 1,000 kilowatt-jam (kWj) sebulan. Program ini menggalakkan penjimatan tenaga dan mengurangkan bil bulanan.

Bagi golongan B40, Program Rebat Bil Elektrik RM40 turut disediakan untuk Ketua Isi Rumah berstatus miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih. Bantuan ini boleh memberi manfaat tidak langsung kepada keluarga pelajar yang memerlukan.

“Langkah-langkah ini mencerminkan pendekatan menyeluruh dalam melindungi sektor pendidikan dan golongan yang memerlukan. Sebagai rakan pembangunan negara, TNB komited untuk memastikan kebajikan rakyat termasuk pelajar, terbela,“ menurut kenyataan TNB.

Maklumat lanjut mengenai semakan tarif, insentif, dan panduan penjimatan tenaga boleh didapati di laman web rasmi TNB atau melalui TNB CareLine di 1-300-88-5454.