KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri serta menteri kabinet hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berikutan pemergian bapanya, Awang Sauni Pengiran Anis, yang meninggal dunia awal pagi ini.
Datuk Seri Fadillah Yusof dalam hantaran di Facebooknya berharap Lukanisman dan keluarganya tabah menghadapi ujian ini. “Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Salam takziah kepada sahabat saya Lukanisman atas kembalinya ke rahmatullah ayahanda beliau. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta mendapat keredhaanMu. Al Fatihah,“ katanya.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut menyatakan rasa dukacita mewakili Kementerian Kesihatan (KKM). Beliau menyifatkan kehilangan seorang bapa sebagai sesuatu yang amat besar dan tiada pengganti.
“Namun, kami mendoakan agar Lukanisman dan seisi keluarga terus dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menerima takdir ini dengan reda. Kami juga mendoakan agar segala amal kebaikan Allahyarham diterima Allah SWT, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,“ jelasnya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri turut menyampaikan takziah kepada Lukanisman, yang juga Ahli Parlimen Sibuti. “Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Dengan penuh rasa dukacita, saya merakamkan ucapan takziah kepada Lukanisman atas pemergian ayahanda tercinta ke rahmatullah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,“ katanya.
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi turut menyatakan simpati dan mendoakan ketabahan buat keluarga Lukanisman. “Salam takziah daripada saya dan seluruh warga Kementerian Kerja Raya,“ ujarnya. - Bernama