WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bersedia untuk bertemu rakan sejawatannya dari Rusia dan Ukraine di Turkiye sebagai sebahagian daripada inisiatif lebih meluas untuk menamatkan perang, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Presiden berkata beliau bersedia jika keadaan memerlukan, namun beliau mahu kedua-dua pemimpin dan kedua-dua pihak duduk bersama di meja rundingan,” kata jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt kepada wartawan pada Isnin.
Kenyataan itu dibuat susulan tawaran Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada hari sama untuk menganjurkan sidang kemuncak yang melibatkan dirinya serta pemimpin ketiga-tiga negara berkenaan.
Bercakap selepas mesyuarat Kabinet, Erdogan berkata hasrat terbesarnya ialah membawa Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy bertemu di Istanbul atau Ankara.
“Saya juga ingin membawa (Presiden AS Donald) Trump sekali,” katanya, merujuk kepada rundingan pusingan kedua antara delegasi Rusia dan Ukraine yang diadakan di Istanbul.
“Ia benar-benar satu pertemuan yang bermakna. Hasil mesyuarat itu, walaupun sudah ada pertukaran tahanan sebelum ini, kali ini jumlahnya melebihi seribu orang. Selain itu, terdapat juga pemulangan beberapa mayat dari Rusia dan Ukraine di luar kerangka pertukaran tahanan. Jumlah ini juga besar. Kami benar-benar berasa bangga,” kata Erdogan.
Beliau berkata sekiranya pemimpin itu bersetuju untuk bertemu di Turkiye, beliau juga akan menyertai pertemuan tersebut bagi menjadikan Istanbul sebagai pusat keamanan.