• 2025-10-13 04:18 PM

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menafikan dakwaan seorang bekas sarjan TUDM bahawa pasukan itu dengan sengaja melengahkan pelaksanaan perintah Mahkamah Rayuan.

Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris menyatakan pasukan itu memandang serius pelaksanaan perintah untuk perbicaraan semula kes bekas sarjan tersebut.

Beliau menjelaskan pelaksanaan perintah tersebut tertakluk kepada prosedur perkhidmatan dan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“TUDM telah mengambil langkah-langkah untuk melaksanakan perintah Mahkamah Rayuan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Muhamad Norazlan menegaskan TUDM komited untuk memastikan segala tindakan selaras dengan kehendak undang-undang dan tatacara perkhidmatan awam.

Beliau berkata TUDM mengambil maklum mengenai Notis Permohonan Pengkomitan yang dikemukakan Tetuan Zalil Mohd & Partners.

Notis permohonan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Media sebelumnya melaporkan Ahmad Zaini Zainon, 42, yang disabitkan oleh Mahkamah Tentera atas kesalahan dadah, memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Panglima TUDM.

Bekas sarjan itu mendakwa Panglima TUDM menghina mahkamah kerana tidak mematuhi perintah Mahkamah Rayuan.

Ahmad Zaini memfailkan permohonan melalui notis usul ex-parte melalui firma guaman Tetuan Zalil Mohd & Partners pada 25 September.

Beliau memohon suatu perintah komital terhadap Panglima TUDM kerana tidak mematuhi perintah untuk perbicaraan semula kesnya. – Bernama