• 2025-06-29 08:07 PM

BUTTERWORTH: UMNO perlu mengguna pakai pendekatan menyeluruh bagi memastikan relevannya dalam kalangan pengundi bawah 40 tahun yang bakal menjadi kelompok majoriti pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan usaha mendekati golongan muda ini bukan tanggungjawab Pergerakan Pemuda UMNO semata-mata, tetapi perlu disokong oleh seluruh jentera parti.

“Mereka kelompok besar, berfikiran kritis dan berpendidikan. Jika strategi tidak tepat, kita akan terus kehilangan sokongan,“ katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Kawan.

Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri menekankan UMNO perlu membuktikan perjuangannya selari dengan asas penubuhan parti untuk meyakinkan generasi muda.

Beliau turut mencadangkan pendekatan penyampaian disesuaikan dengan perubahan zaman memandangkan sebahagian generasi muda kurang berminat dengan aspek sejarah parti.