SERIAN: UMNO telah menerima surat peletakan jawatan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata surat itu telah dihantar kepada Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan.
“Semalam apabila kita semak, tiada (terima surat), tetapi pada pagi tadi apabila kita semak semula surat tersebut telah dihantar kepada Mohd Sumali. Kita terima surat peletakan jawatan dan keluar keahlian sebagai ahli UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pekebun Kecil Makmur dan Sambutan Pra-Gawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Sarawak 2025 di sini, hari ini.
Semalam, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.
Tengku Zafrul berkata beliau telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadailan Rakyat (PKR) kepada Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berharap, agar Anwar melalui prerogatif sebagai Perdana Menteri, dapat mengembalikan semula kuota tujuh menteri penuh di dalam Kabinet Persekutuan kepada UMNO susulan tindakan Tengku Zafrul.
“Bagi saya yang lebih penting ialah UMNO diwakili tujuh orang menteri dalam Kabinet, walaupun kita tidak pasti sama ada pelantikan Tengku Zafrul (sebagai menteri) dilakukan atas kapasiti UMNO atau sebaliknya, tetapi anggapan kita beliau daripada UMNO.
“Jika begitu, sekarang UMNO tinggal hanya enam menteri penuh, dengan keberadaan Tengku Zafrul di luar UMNO maka layaklah UMNO memohon satu kerusi supaya diberi kepada kita,” katanya.
Ahmad Zahid juga berkata beliau akan meminta pandangan penasihat undang-undang UMNO, untuk melihat sama ada Tengku Zafrul telah melanggar perjanjian ditandatanganinya semasa menjadi calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Untuk calon dalam PRU lepas, jika mereka keluar parti maka mereka boleh didenda RM100 juta berdasarkan akuan sumpah mereka. Tengku Zafrul bertanding, tetapi beliau kalah dan dilantik semula sebagai Senator. Jadi saya perlu periksa dulu dengan penasihat undang-undang UMNO,” katanya.